Air Asia X Laksana Pengurangan Modal dan Minta Pengampunan Hutang

Dalam satu research report mengenai Air Asia X oleh MIDF Research, penulis laporan menyatakan bahawa “AAX is at its existential crossroad”. Tinggi bahasanya. Terjemahan Melayu mudah: “AAX mungkin gulung tikar.”

Pada 25 April 2020, saya ada menulis satu artikel apabila saham AAX masih berharga  12 atau 13 sen dan sedang ‘dimainkan’ oleh traders bahawa syarikat ada risiko mengalami situasi modal negatif, walaupun jika Covid-19 tidak melanda.

Dalam satu lagi artikel pada 5 Ogos, saya menekankan bahawa situasi modal atau aset bersih negatif ini sudah pun dialami apabila AAX mengumumkan keputusan kewangan terbarunya.

Bak kata orang putih, Day of Reckoning kini sudah tiba. AAX baru-baru ini mengumumkan cadangan ‘penyusunan semula’ hutang dan pengurangan modal yang perit bagi pemiutang dan juga pemegang saham.

Di bawah cadangan yang dikemukakan, liabiliti bernilai RM63.5 bilion(!) akan dikurangkan kepada hanya RM200 juta tertakluk kepada kelulusan pemiutang.

Manakala modal saham akan dikurangkan dengan menggabungkan 10 saham menjadi 1 saham. Pendek kata jika anda pegang 1,000 saham, lepas penyusunan semula tinggal hanya 100 saham.

Mengapa pemiutang perlu mempertimbangkan cadangan penyusunan semula ini, walaupun ia menyebabkan mereka rugi besar?

Sebab jika mereka tidak menerimanya, syarikat akan muflis dan terdapat kemungkinan mereka langsung tak dapat apa-apa.

Inilah risiko membeli saham syarikat perniagaan, atau memberi pinjaman atau pembiayaan kepada syarikat.

Semua pelaburan ada risiko, walaupun dalam jenama terkenal atau usahawan terbilang.  Setiap kisah untung saham ada cerita sedih rugi pelaburan. Cuma cerita tersebut jarang diuar-uarkan.

Apa akan jadi kepada AAX? Sukar untuk menyatakan dengan pasti, kerana berasaskan satu sumber berita, nilai aset bersih masih negatif walaupun selepas penyusunan semula ini.

Perkara yang memang jelas ialah persoalannya bukan sama ada pelabur atau pembiaya rugi atau tidak. Malah, bukan juga rugi kecil atau rugi besar. Persoalan sebenar ialah sama ada pelabur rugi besar atau rugi keseluruhan modal.

Nota: Kerugian ialah bagi pelabur lebih awal. Jika beli sekarang apabila harganya telah turun dengan ketara, untung atau rugi bergantung kepada kejayaan penyusunan semula tersebut. JIka gagal semua orang pun rugi.

______________________________

Online Course dan E-book Razali Razman. Klik untuk maklumat lanjut:

 

 

 

 

 

Unit Amanah

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Membina Aset Kejayaan

 

 

 

 

 

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *