Penyenaraian MR.DIY: Kenaikan Harga Masa Depan Bergantung Kepada Kejayaan Pelan Pertumbuhan Syarikat

Ada dua jenis kejayaan bagi sesuatu IPO atau tawaran penyenaraian awam syarikat. Pertama kejayaan syarikat mengumpulkan seberapa banyak modal daripada penyenaraian, dengan kata lain mendapatkan harga tertinggi yang sanggup dibeli pelabur. Kedua ialah kejayaan pemegang saham untuk meraih untung selepas membeli saham pada harga IPO.

Penyenaraian MR DIY baru-baru ini pada PE ratio 31.6, dengan bahagian awam terlebih langgan hanya 0.07 kali dan bahagian institusi terlebih langgan 4.7 kali, menunjukkan pihak pengurusan telah berjaya menetapkan harga betul-betul pada limit harga yang sanggup dibeli oleh pelabur dalam suasana semasa.

Pendek kata mereka telah berjaya memaksimumkan modal yang boleh diraih. Tetapi sama ada pelabur yang membeli saham tersebut berjaya meraih untung bergantung kepada sentimen dalam jangka pendek, dan juga kejayaan melaksanakan rancangan perkembangan syarikat dalam jangka panjang.

Dalam keadaan biasa, penyenaraian jenama terkenal seperti Mr DIY lazimnya akan mencetus minat yang besar daripada pelabur runcit dan juga institusi.  Tidak kira mahal atau murah harganya berbanding untung, biasanya akan ada lonjakan serta-merta selepas penyenaraian.

Tetapi keadaan industri peruncitan semasa dan juga pelabur yang mungkin lebih berhati-hati dengan wang mereka telah menyebabkan ramai orang tidak sanggup atau tiada wang lebihan untuk melabur. Manakala ada beberapa penganalisis menganggap harganya terlalu mahal.

Susulan daripada keadaan ini, terdapat risiko tiada lonjakan pada hari pertama atau lonjakan bersifat sementara sahaja atau harga jatuh selepas penyenaraian. Semuanya bergantung kepada sentimen pada hari penyenaraian dan beberapa minggu selepas itu.

Kembali kepada harganya. MR DIY ialah satu kisah kejayaan besar. Permintaan terhadap produknya tetap ada walaupun dalam situasi ekonomi gawat kerana tawaran nilainya.  Tetapi harga RM1.60 pada PE 31.6 ialah harga yang agak mahal walaupun dijustifikasikan oleh rancangan pertumbuhan syarikat.

Jika MR DIY mampu meningkatkan keuntungan secara konsisten dalam tempoh lima tahun akan datang, maka harga tersebut langsung tidak ‘mahal’.  Story yang dijual ialah growth atau pertumbuhan. Jadi sama ada harga boleh naik pada masa depan bergantung kepada sama ada realiti menepati kisah yang dijaja kepada pelabur.

Selain daripada MR DIY, ada dua lagi jenama gedung yang sedang cuba dikembangkan syarikat, iaitu Mr Toy dan MR Dollar.  Jadi walaupun potensi perkembangan MR DIY tidak begitu besar memandangkan sudah banyak MR DIY di seluruh negara, mungkin terdapat potensi pertumbuhan bagi dua lagi jenama.

Secara peribadi saya memang tidak membeli saham IPO. Sebaliknya saya akan menunggu sehingga syarikat ada track record selepas IPO sebelum membeli, lazimnya selepas mengumumkan keputusan sekurang-kurangnya dua suku tahun.

MR DIY saya akan letakkan dalam watchlist. Siapa tahu harga jatuh ke paras yang berpatutan dalam tempoh beberapa bulan akan datang untuk disambar.

Walau apa pun, MR DIY ialah satu kisah kejayaan Malaysia yang menarik dan memang patut dikagumi. Cuma sebagai pelabur, persoalannya ialah berapa yang sanggup kita bayar dan bolehkah perniagaan dan keuntungan terus dikembangkan secara konsisten.

______________________________

Online Course dan E-book Razali Razman. Klik untuk maklumat lanjut:

 

 

 

 

 

Unit Amanah

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Membina Aset Kejayaan

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *