Jack Ma: Kerana Mulut IPO Tersangkut

Jack Ma, pengasas Alibaba, baru-baru ini menerima tamparan hebat apabila IPO syarikat teknologi kewangan gergasi di bawah kawalannya Ant Group (dulu dikenali sebagai Ant Financial dan sebelum itu Alipay) telah ditangguhkan. IPO tersebut merupakan IPO terbesar di dunia, dengan penyenaraian sepatutnya dibuat di Shanghai dan Hong Kong.

Ant Group, bermula sebagai Alipay, dompet untuk pembayaran elektronik mudah alih. Pada hari ini syarikat tersebut telah berkembang maju menjadi empayar kewangan besar yang berkhidmat kepada orang ramai dan perniagaan kecil.

Syarikat kini terlibat dalam pemberian pembiayaan kepada pengguna dan perniagaan kecil, selain menjual produk pelaburan dan insurans di dalam talian. The Edge melaporkan bahawa Khazanah ialah salah satu pelabur yang berpeluang meraih untung besar jika syarikat tersebut disenaraikan.

Malangnya pihak berkuasa kawal selia China telah menangguhkan IPO tersebut atas sebab rasmi berikut: ‘perubahan dalam peraturan kawal selia dan kegagalan memenuhi syarat-syarat pendedahan’.

Memang benar ada pelbagai persoalan tentang operasi kewangan Ant kerana ia tidak dikawal selia seketat bank dan pihak berkuasa kewangan di China sedang memantau operasi syarikat-syarikat teknologi kewangan dengan lebih teliti.

Tetapi mungkin apa yang menyebabkan IPO ditangguhkan hanya dua hari sebelum penyenaraian ialah tindakan Jack Ma mengkritik ‘golongan establishment’ kewangan China dalam satu sidang di Shanghai, yang dihadiri oleh golongan elit kewangan dan pihak berkuasa kawal selia China.

Dalam kritikan tersebut, beliau mendakwa Bank-Bank di China bertindak seperti kedai pajak gadai, yang memberikan pinjaman kepada syarikat-syarikat yang sebenarnya tidak memerlukan wang.

Kita tidak tahu sama ada kritikan tersebut wajar atau tidak. Tetapi mungkin beliau rasa status dan kejayaan beliau akan membolehkannya bercakap tanpa beralas dan mengkritik secara terus-terang.

Kesannya ialah pihak berkuasa kewangan mula bertindak dan menzahirkan kebimbangan masing-masing.

Jika sebelum ini mereka membiarkan IPO dilaksanakan walaupun ada kemusykilan terhadap syarikat ini memandangkan Jack Ma ialah ikon China dan mereka perlukan kisah kejayaan seperti beliau, sekarang jalan cerita sudah berubah sama sekali.

Kisah ini mengingatkan saya tentang nasihat Dale Carnegie dalam buku klasiknya, How to Win Friends and Influence People, “Don’t criticize, condemn or complain” (Jangan menkgkritik, mengutuk atau merungut).

Mungkin masih berguna nasihat penulis dan pendidik terkenal itu dalam era semasa. Apatah lagi dalam kes ini di mana kritikan dibuat di khalayak ramai, bukan secara peribadi atau bersemuka.

___________________________

Online Course dan E-book Razali Razman. Klik untuk maklumat lanjut:

 

 

 

 

 

Unit Amanah

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Membina Aset Kejayaan

 

 

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *