Mengambil Kira dan Menerima Pakai Pandangan Pihak Lain Dalam Belanjawan 2021

Tahun ini merupakan kali pertama dalam sejarah Malaysia kerajaan tidak dapat meluluskan belanjawan negara tanpa persetujuan atau buy-in daripada pelbagai pihak, sama ada yang berada di dalam perikatan mereka sendiri atau di pihak pembangkang. Situasi ini ada positif dan ada negatif.

Perkara positif ialah pentadbiran negara perlu mendengar pandangan lain. Kadangkala ada manfaat dan penambahbaikan boleh dilakukan dengan mendengar pendapat berbeza.  Sudut negatifnya ialah tahun inilah paling kurang sesuai untuk perkara ini berlaku, kerana keperluan mendesak untuk meluluskan belanjawan akibat Covid-19.

Pandangan berbeza-beza telah diberikan oleh pelbagai pihak tentang belanjawan 2021 yang dibentangkan tempoh hari. Ini tidak menghairankan.

Ada yang kata bajet kali ini tidak cukup besar, walaupun perbelanjaan sudah paling besar, kerana masalah Covid-19 teramat besar.

Beberapa tokoh seperti Dato’Seri Anwar Ibrahim dan Dato’Seri Najib pula mahukan lanjutan moratorium dan beberapa perkara lain ditambah ke dalamnya untuk kemudahan rakyat dan perniagaan.

Sementara itu, Tun Dr. Mahathir pula berkata perbelanjaan terlalu besar dan tidak setimpal dengan hasil kerajaan. Sepatutnya perbelanjaan di banyak tempat boleh dikurangkan dan perbelanjaan untuk Covid-19 pula ditambah.

Manakala ramai juga yang mempersoalkan peruntukan tertentu seperti puluhan juta kepada JASA.

Akhir sekali ialah pandangan outlier daripada Prof Dr Nazari Ismail (UM) dalam satu artikel di Astro Awani.  Beliau berkata bajet kali ini menjerumuskan negara dan rakyat lebih jauh ke dalam kancah riba kerana defisit dan hutang lebih tinggi.

Begitu banyak pandangan berbeza dari blok yang berbeza.

Tetapi situasi ini mengingatkan saya tentang nasihat yang diberikan oleh seorang pakar IT kepada perunding pengurusan dan penulis terkenal Tom Peters.

Kisah ini diceritakan dalam bukunya The Little Big Things – 163 Ways To Pursue Excellence. Saya olah semula cerita tersebut:

Katakan anda sedang mengaturcara satu sistem yang akan dijual kepada pelanggan di tempat jauh. Pasukan anda telah mereka cipta sebuah perisian yang anda rasa hebat. 

Tetapi ada seorang rakan sekerja dalam bidang pemasaran yang tak puas hati dengan beberapa perkara.  Beliaulah yang akan menjual sistem tersebut dan menghadapi kerenah pelanggan.

Apa yang patut dilakukan? Duduk bersemuka dengan rakan sekerja itu, dengar rungutannya dan tukar satu baris kod dalam sistem untuk menyelesaikan satu daripada kemusykilan utama beliau.

Pakar IT tersebut berkata cara ini pasti berjaya, walaupun beberapa isu lain yang ditimbulkan oleh rakan dalam bidang pemasaran itu masih tidak disentuh. 

Ia pasti berjaya kerana anda telah mendengar pandangan beliau dan menukar kod pengaturcaraan semata-mata untuknya.

Beliau akan rasa dihargai dan telah memberikan input dan memainkan peranan mereka bentuk sistem tersebut.

Mungkin dengan mendengar pandangan dan membuat perubahan yang paling dikehendaki oleh pihak lain, dan mengekalkan peruntukan yang dirasai paling penting bagi kerajaan, satu penyelesaian tolak ansur dapat dicapai.

Nota: Saya suka memaparkan padangan Prof Dr Nazari kerana dari segi ideologi, itulah pandangan saya. Tetapi saya juga sedar bahawa dari sudut praktikal, situasi ideal yang dikehendaki hampir mustahil dicapai kerana sifat semula jadi manusia dan juga ahli politik yang mahu menggembirakan insan yang ditagih sokongan mereka. Lagipun tahun ini bukan tahun untuk Kerajaan berjimat dan berhemat.

_________________________

Online Course dan E-book Razali Razman. Klik untuk maklumat lanjut:

 

 

 

 

 

Unit Amanah

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Membina Aset Kejayaan

 

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *