Saranan BNM Cetak Wang dan Serah Kepada Rakyat: Boleh Pakai atau Tidak?

YB Wan Ahmad Fayhsal, Timbalan Menteri Belia dan Sukan menerima kritikan hebat selepas mencadangkan agar Bank Negara Malaysia (BNM) ‘mencetak wang’ dan menyerahkannya kepada rakyat.  Banyak pihak, termasuk ahli politik lain dan pengkritik media sosial menganggap idea tersebut tak masuk akal.

Kata mereka, tak tahukah apa yang terjadi di Zimbabwe, Venezuela atau Jerman di bawah pemerintahan Nazi, atau Malaysia di zaman Jepun? Adakah Timbalan Menteri ini langsung jahil tentang ekonomi?

Terlebih dahulu, saya ingin menyatakan dengan jelas pandangan peribadi. Saya memang tak setuju dengan saranan beliau.

Tetapi adakah beliau jahil dari segi ekonomi? Tidak sama sekali. Idea yang beliau ketengahkan bukan baharu dan saya pernah membaca atau melihat beberapa tokoh terkenal membincangkannya, termasuk Ray Dalio.

Apa yang disarankan bukanlah mencetak wang secara berterusan sehingga menimbulkan inflasi ketara, tetapi rangsangan one-off atau untuk tempoh terhad sehingga PKP ditamatkan sepenuhnya atau krisis berakhir.

Malah cadangan ini ada kelebihannya. Kaedah lazim menambah bekalan wang untuk merangsang ekonomi ialah menerusi QE atau pelonggaran kuantitatif di mana Bank Pusat membeli aset kewangan seperti bon.

Tetapi kaedah ini menyuntik wang ke dalam pasaran wang dan mungkin kesannya tidak dirasai oleh orang biasa.

Jika ada mekanisme untuk ‘mencetak wang’ dan memberikanya kepada golongan yang memerlukan,  ia patut dibincangkan kerana rangsangan tersebut akan diterima secara langsung oleh rakyat.

Kalau tak silap saya, idea helicopter money ini juga pernah diketengahkan oleh Senator Liew Ching Tong pada awal penularan pandemik.

Saya tak setuju dengan idea ini kerana kita sudah boleh nampak endgame pandemik dan langkah drastik seperti ini mungkin tidak perlu dilaksanakan.

Saya juga berpendapat sebarang pemberian wang kepada rakyat seharusnya menerusi dasar fiskal, iaitu daripada kerajaan, bukan BNM.

Tetapi idea helicopter money ini berpotensi untuk dilaksanakan dengan baik sekiranya ada mekanisme untuk melakukannya dengan cara terhad dan berdisiplin.

Bagi mereka yang takut dengan inflasi, perlu diingat bahawa kita sudah berbulan-bulan mengalami inflasi negatif. Cetakan wang yang terhad tidak akan menimbulkan hiperinflasi.

Melihatkan gelagat pengkritik, seolah-olah YB ini langsung tak tahu apa yang dikatakan dan merekalah yang pasti betul.

Walaupun tak setuju dengan YB Wan Ahmad Fayhsal, saya faham apa yang beliau maksudkan dan boleh melihat merit cadangan tersebut.

Bagi saya nak kritik boleh, tetapi kita perlu sedar bahawa mungkin kita yang salah. Jadi tidak wajar mengatakan yang beliau tak pergi sekolah atau tak tahu langsung pasal ekonomi.

Kita renungkan kata-kata Mark Twain:

“What gets us into trouble is not what we don’t know. It’s what we know for sure that just ain’t so”

Terjemahan: “Apa yang menimbulkan masalah kepada kita bukannya apa yang kita tak tahu. Tetapi apa yang kita rasa memang pasti kita tahu, tetapi sebenarnya kita tak tahu”

________________________

Online Course dan E-book Razali Razman. Klik untuk maklumat lanjut:

 

 

 

 

 

Unit Amanah

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Membina Aset Kejayaan

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *