Setiap Pekerjaan Adalah ‘Essential’

Walaupun pertumbuhan ekonomi dijangka pulih pada tahun ini, berasaskan pemerhatian saya data makroekonomi tidak memberi apa-apa makna bagi rakyat biasa, lebih-lebih lagi bagi mereka yang disekat daripada bekerja.  Bukan sahaja pertumbuhan ekonomi tidak wujud bagi mereka, tetapi ada segelintir yang ekonomi peribadi mereka adalah sifar.

Kebanyakan orang faham dan boleh menerima jika disekat daripada bekerja untuk mengurangkan beban terhadap hospital dan perkhidmatan perubatan awam yang sudah mencapai tahap kapasiti.

Tetapi ada yang kurang senang kerana industri dan sektor yang merupakan sumber penularan paling besar dibenarkan beroperasi kerana dianggap essential, sedangkan pekerjaan mereka yang mungkin lebih rendah risikonya dan tiada perkumpulan besar manusia disekat.

Pendek kata orang dan perniagaan tertentu diminta tidak bekerja, untuk mengehadkan penularan yang disebabkan oleh sektor ‘utama’ .

Kesannya ramai individu dan peniaga kecil mengalami masalah kewangan dan ekonomi sifar, sedang sesetengah pemilik industri besar mengaut untung supernormal, walaupun tidak begitu menjaga SOP yang menyebabkan tahap penularan ketara.

Memang tidak dinafikan adalah amat sukar bagi kerajaan untuk mengimbangi keadaan semasa.  Siapa pun yang memerintah akan mengalami situasi yang sama.

Tetapi pada pendapat saya, jika nak benarkan ekonomi bergerak, bukalah kepada semua tetapi tentukan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan dan SOP yang perlu dipatuhi.

Nota: Bagi kita yang ada kerja atau boleh bekerja dan mencari nafkah sepanjang pandemik termasuk saya, memang kita patut bersyukur, kerana kita tahu betapa sukarnya keadaan bagi mereka yang tidak dapat bekerja atau bisnes berkurangan dengan ketara akibat kawalan pergerakan.

Author: razali

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *