Adakah Buffett dan Bershire Hathaway Sudah Kehilangan Sentuhan Hebat?

Dalam jangka masa lebih 50 tahun lepas, prestasi pelabur tersohor Warren Buffett, menerusi syarikatnya Berkshire Hathaway telah jauh mengatasi indeks S&P 500.  Pulangan terkompaun tahunan nilai pasaran saham Berkshire ialah 20% dari tempoh 1965 hingga 2020, berbanding 10.2% bagi Indeks S&P 500 di Amerika.

Tetapi jika dilihat daripada carta, sebahagian besar daripada prestasi cemerlang dicapai pada tahun-tahun awal, sebelum alaf baharu. Ada tahun di mana pulangan lebih 100% dicatatkan. Selepas tahun 2000, prestasinya adalah lebih kurang sama dengan indeks.

Malah dalam tempoh 10 tahun yang lepas, peningkatan saham Berskhire sedikit di bawah prestasi Indeks S&P 500 (selepas mengambil kira dividen). Manakala untuk tempoh dua tahun lepas, prestasinya agak jauh di belakang.

Adakah Buffett dan Berkshire sudah kehilangan sentuhan emas atau ada sebab munasabah untuk kemerosotan prestasi ini?

Jawapannya sukar untuk ditentukan, tetapi kemungkinan besar kombinasi antara keduanya. Antara sebab kemerosotan prestasi:

1. Saiz Berkshire Hathaway yang begitu besar, yang menyebabkannya sukar mencatatkan outperformance kerana kesukaran mencari sumber pelaburan yang cukup besar untuk mempengaruhi pulangan.

2. Dunia pelaburan 10 tahun lepas, malah terutamanya selepas Covid banyak dipengaruhi oleh dasar wang Federal Reserve atau Fed, (Bank Pusat Amerika), yang melaksanakan dasar wang mengembang dengan kadar faedah hampir sifar yang merangsang kenaikan saham dengan ketara.

3. Keputusan pelaburan Berskhire kini tidak bergantung kepada Buffett sahaja, kerana saiznya dan kerana perancangan untuk mencari pengganti.

4. Berkshire tidak memanfaatkan pegangan tunainya yang tinggi untuk melabur apabila pasaran jatuh semasa Covid-19 mula melanda.

5. Pada krisis subprima 2008, ada syarikat yang meminta bailout dan dana daripada Buffett, yang membolehkannya membeli saham atau opsyen saham dalam syarikat tersebut pada harga yang murah tetapi dalam krisis kali ini, Fed telah membuka saluran wang seluasnya menyebabkan syarikat-syarikat tidak perlu menagih dana daripada Buffett.

6. Satu lagi faktor yang mungkin ialah faktor usia. Semua yang hebat akan berakhir zaman kegemilangannya, sama ada Muhammad Ali, Mike Tyson, Nicol David, Michael Schumacher, Tiger Woods dan ramai lagi. Cuma Buffett telah bertahan sangat lama di puncak kerjaya.

Bagaimanapun, meminjam istilah pelaburan, jangan sekali-kali ‘discount’ Warren Buffett.  Nilai aset pelaburan kebelakangan terbias oleh sokongan yang diberikan Fed dan Bank-Bank Pusat Dunia, sehingga menimbulkan keadaan di mana saham naik mencanak dalam ekonomi yang kurang baik.

Siapa tahu apabila keadaan kembali normal dan pelabur mula melihat kembali kepada value berbanding story, dan apabila campur tangan luar biasa Fed berakhir, mungkin Berkshire Hathway akan kembali menyengat,

Carta prestasi dua tahun lepas menunjukkan data terbaru yang mana jurang prestasi antara Berkshire dan S&P 500 sejak dua tiga bulan lepas sudah mula rapat, dan mungkin dirapatkan lagi dalam tempoh yang mendatang.

Cuma zaman di mana Buffett boleh mencatatkan pulangan lebih 50% setahun sudah berakhir memandangkan saiz Berkshire yang begitu besar.

___________________

Online Course dan E-book Razali Razman. Klik untuk maklumat lanjut:

 

 

 

 

 

Unit Amanah

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Membina Aset Kejayaan

 

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *