Khazanah – Pulangan Lebih Rendah dan Nak Faham Laporan Pun Tak Mudah

Baru-baru ini Khazanah Nasional, Dana Berdaulat Kerajaan Malaysia mengumumkan keputusannya pada 2020. Cara laporan dibentangkan dan ukuran yang digunakan tidak begitu mudah dihadamkan jika dibandingkan dengan laporan dana Temasek milik Kerajaan Singapura.

Terdapat dua dana di bawah naungan Khazanah, iaitu Dana Komersial dan Dana Strategik.

Dana Komersial ialah dana antara generasi (intergenerational) yang bertujuan menjana pulangan jangka panjang dengan melabur dalam pelbagai kelas aset yang meliputi kawasan geografi berbeza.

Dana Strategik ialah dana yang memegang dan membangunkan aset negara dengan kepentingan strategik. Antara syarikat yang dipegang dalam dana strategik ialah TNB, MAB dan MAS.

Pendek kata, dengan membezakan dua dana ini, prestasi Dana Komersial mungkin tidak dibelenggu oleh prestasi syarikat-syarikat yang terpaksa dipegang (dan mungkin diselamatkan berulang kali) atas kepentingan negara.

Jadi bagi saya prestasi pengurus dana sebahagian besarnya diukur berasaskan prestasi Dana Komersial. Ini kerana bagi dana strategik, para pengurus mungkin perlu melakukan apa yang dikehendaki oleh Kerajaan, dan bukannya keputusan yang memaksimumkan pulangan.

Berikut adalah prestasi Dana Komersial.

Pulangan: Kadar pulangan berwajaran masa atau time weighted rate of return (TWRR) 1.5% atas dasar tempoh bergerak 2 tahun (rolling two year basis).

Anda mungkin tak pernah lihat pulangan diungkapkan dengan cara sebegini dan secara jujurnya saya pun begitu.

Saya tak faham mengapa Khazanah tidak boleh berikan sahaja prestasi untuk tahun 2020.

Mungkin sebab mereka sudah dua tahun selepas memulakan proses mempelbagaikan portfolio, yang didakwa mereka sebagai satu kemajuan.

Tetapi apa salahnya berikan pulangan tahunan yang lebih mudah dan mencerminkan prestasi 2020.

Apakah penanda arasnya? Inflasi + 3 % setahun untuk tempoh bergerak 5 tahun.

Saya juga tak berapa faham mengapa diletakkan benchmark dengan cara ini, iaitu tempoh bergerak 5 tahun (ón a rolling five year basis) Bukankah mudah jika guna benchmark mudah inflasi + 3% secara tahunan.

Pecahan peruntukan pelaburan dana ialah seperti berikut: (semua infografik daripada Tinjauan 2021 Khazanah):

Manakala pulangan daripada kelas aset berbeza adalah seperti berikut:

Berasaskan pulangan yang dicatatkan dan peruntukan setiap kelas aset, saya anggarkan bahawa jika jika menggunakan kaedah pulangan tahunan, Khazanah mencatatkan pulangan negatif pada tahun 2020.

Bagaimana pula dengan Dana Strategik?

Dalam laporan media disebut dana mencatatkan untung bersih 0.3%. Tetapi itu bukan ukuran sebenar kerana Nilai Aset jatuh sebanyak 15%

 

Prestasi Dana Strategik ini memanglah dijangkakan kerana ada peruntukan rosot nilai dalam MAS dan kejatuhan harga saham besar seperti TNB.

Tidak dinafikan ada banyak alasan munasabah bagi prestasi yang kurang baik. Covid-19 yang paling utama.

Tetapi laporan yang dibentangkan sudah tentu boleh ditambah baik.  Apa salahnya gunakan kaedah ukuran biasa bagi Dana Komersial?

Jika kita buka laman web Temasek, kita dapat melihat dengan mudah bahawa Nilai Aset telah merosot sedikit tahun ini. Tiada masalah. Maklumat disampaikan dengan telus.

Dari segi prestasi, walaupun sedar keadaan pelaburan tempatan, dan 50% daripada Dana Komersial dilaburkan dalam saham tersenarai Malaysia, perlu diingat bahawa banyak dana unit amanah mencatatkan prestasi cemerlang pada 2020, walaupun dana-dana tersebut hanya melabur dalam pasaran Malaysia.

Akhir sekali ialah alasan terpaksa pegang aset tertentu atas kepentingan strategik negara bagi Dana Komersial tidak boleh diguna pakai, kerana aset-aset tersebut telah pun dipisahkan ke dalam Dana Strategik.

Nota selingan:

  1. Bossku ada menyebut bahawa Khazanah telah menjual saham syarikat induk Shopee pada November 2019, sebelum ia meledak pada 2020. Saham tersebut dibeli pada 2016.

 

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *