AirAsia Catat Kerugian Besar Dengan Kedudukan Aset Bersih Negatif

Minggu lepas AirAsia telah mengumumkan angka kerugian terbesar, apabila mencatatkan defisit RM2.4 bilion pada suku keempat 2020, yang menjadikan jumlah kerugian sebanyak RM5.1 bilion untuk seluruh tahun 2020.

Kerugian ini lebih besar daripada yang dijangka ramai penanalisis, tetapi bukan sama sekali di luar dugaan kerana kemelut yang dihadapi akibat Covid-19.

Tetapi apa yang saya ingin paparkanialah berasaskan laporan yang dikemukakan kepada Bursa, kedudukan aset bersih (modal atau ekuiti) AirAsia sudah mencapai tahap negatif, iaitu RM-0.37 sesaham.

Dari segi modal keseluruhan, menurut The Edge, kedudukan modal  AirAsia berada pada tahap defisit RM3.6 billion!

Bursa Malaysia

Sepatutnya syarikat sudah diklasifikasikan sebagai PN17, tetapi  Bursa Malaysia telah menggantung klasifikasi tersebut dalam tempoh Covid-19 ini.

Apakah implikasi keputusan kewangan terbaru? Ini bermakna liabiliti AirAsia lebih besar daripada asetnya. Maksudnya jika anda beli saham ini, apa yang anda beli ialah goodwill atau muhibah  semata-mata.

Sebagai contoh andaikan harga saham AirAsia ialah RM1.00. Katakan anda membeli saham ini, apa yang anda beli ialah muhibah sebanyak RM1.00 + RM0.37 = RM1.37.

Pendek kata anda membeli harapan (yang mungkin atau tidak mungkin menjadi kenyataan)

Jadi dengan membayar RM1.00, apa yang diharapkan pelabur ialah:

  1. AirAsia akan mampu mencatatkan untung mulai pada 2022 untuk menutup jurang modal
  2. Hak penerbangan, nilai jenama dan operasi AirAsia sebagai usaha berterusan (going concern) mempunyai nilai yang tinggi, walaupun tidak dicerminkan dalam buku akaun.
  3. Keupayaan Tony Fernandez sebagai usahawan untuk memulihkan keadaan.

Ini kerana dari segi aset fizikal semata-mata, anda membayar RM1.00 sesaham untuk mendapatkan liabiliti sebanyak RM0.37 sesaham!

Tujuan saya menulis artikel ini ialah untuk mengingatkan pelabur tentang risikonya. Pertama sekali AirAsia perlu mengembalikan kedudukan modal.

Jika syarikat menerbitkan saham baharu, seperti yang dilakukan pada suku pertama 2021, ia akan mencairkan pegangan saham pelabur.

Jika syarikat melakukan capital reduction, nilai atau bilangan saham anda akan dikurangkan.

Nama yang terkenal sahaja tidak cukup untuk menjanjiikan keselamatan.

Pelabur dan AirAsia memerlukan best case scenario untuk berlaku dari segi keupayaan negara mengawal Covid-19 dan juga memulihkan ekonomi mulai separuh kedua tahun.

AirAsia juga perlu menagih budi bicara penghutang untuk memberikan keringanan.

Jika tidak tiada justifikasi bagi harga saham semasanya.

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *