Gelembung Aset Yang Semakin Besar

Bagaimana untuk menterjemah Asset Bubble dalam Bahasa Melayu? Patutkah kita gunakan buih, gelembung, belon atau busa?

Sebab nampak seperti bubble yang wujud dalam beberapa kelas aset sudah terlalu kembung.

Semalam, nilai satu cryptocurrency bernama Dogecoin yang berada dalam edaran telah mencecah US53 bilion. Penilaian yang lebih tinggi daripada syarikat gergasi seperti Kraft dan Ford.

Syarikat-syarikat yang telah lama bertapak. Yang menjana nilai ekonomi sebenar.

Jangan salah sangka,. Crypto adalah satu ciptaan yang hebat. Tetapi hanya sebagai mata wang alternatif.

Mata wang maya yang akan survive akhirnya ialah yang digunakan ramai. Bukan yang dicipta sebagai lawak jenaka.

Selain itu, banyak juga saham yang berada di awang-awangan. Terutamanya saham di luar negara yang baru memasuki sektor paling hot.

Saya masih ingat lagi pertama kali artikel saya diterbitkan di media cetak, iaitu di majalah Dewan Ekonomi pada bulan Ogos, 2000.

Tajuknya ialah dotcom boom dan bagaimana kenaikan harga saham tanpa sebarang nilai tersebut tidak akan kekal.

Dalam masa beberapa bulan keruntuhan harga saya syarikat-syarikat dotcom telah berlaku. Tetapi segelintir syarikat yang kukuh terus survive dan sudah menjadi syarikat gergasi sekarang.

Kali ini situasi mungkin sedikit berbeza kerana dasar wang amat longgar oleh Bank-Bank Pusat di seluruh dunia. Kebanjiran wang ini terus mencetus dan menyokong kenaikan harga aset.

Lagipun bubble kali ini dipacu oleh kelas pelabur baharu berpaksikan media sosial yang mempunyai konsep dan pandangan berbeza tentang nilai.

Maka, berasaskan dua faktor di atas parti ini mungkin boleh diteruskan untuk jangka masa lebih panjang lagi.

Tetapi tiada siapa yang boleh lari daripada daya graviti.  ‘Nilai’, di peringkat paling asas, diperolehi daripada aliran tunai/untung/fungsi/manfaat yang dihasilkan oleh sesuatu aset pada masa kini dan masa depan.

Jika tiada satu pun penjana nilai di atas wujud, risiko untuk jatuh dari awang-awangan adalah amat tinggi, atau pun hampir pasti.

Saya tak berani meramalkan bila parti kali ini akan berakhir, tetapi ia akan berakhir.

Nota:

  1. Artikel di atas tidak merujuk pada pasaran Malaysia. Pasaran kita bukan sahaja tiada bubble, tetapi secara umumnya mempunyai masalah sebaliknya, iaitu tak naik-naik melebihi paras 2013. Kita harap ia bangkit kembali pada lewat tahun ini dan tempoh selanjuntya.
  2. Pada satu masa dulu, menerbitkan artikel di media cetak, dalam majalah seperti Dewan Ekonomi adalah satu penghormatan besar. Dunia sekarang nyata sudah berubah.
  3. Bahan bacaan cadangan: Manias, Panics and  Crashes. A History of Financial Crises oleh Charles Kindleberger dan Robert Aliber; dan Irrational Exuberance oleh Robert Schiller.

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *